PETALING JAYA: Pas menzahirkan komitmennya untuk merealisasikan kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Ia juga sekali gus memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, dengan izin Allah SWT, kerjasama antara Pas dan UMNO di PRN Melaka bakal menjadi kenyataan namun banyak lagi kerja harus dilakukan demi mencapainya.
“InsyaAllah, persefahaman Pas dan Umno di PRN Melaka akan menjadi kenyataan. Kita jalan terus. Mara menuju cita-cita,” katanya ringkas di Facebook miliknya hari ini.
Semalam akhbar ini melaporkan, kerjasama Pas dan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka semakin hampir menjadi kenyataan apabila rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu telah mencapai mencapai 90 peratus.
Malah, Pas bersedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut jika langkah itu mampu membawa kepada kata putus kerjasama tersebut.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berkenaan akan dibawa kepada kepemimpinan parti masing-masing untuk pengesahan akhir sebelum dimuktamadkan.
Katanya, UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu, manakala rundingan tertumpu kepada enam hingga 10 kerusi yang belum dimenangi parti itu.
“Jawatankuasa rundingan antara Pas dan UMNO nampak cukup baik ke arah mewujudkan persefahaman tersebut. Kita sudah menjalankan rundingan dan hampir 90 peratuslah sudah selesai.
“Selepas ini, ia akan dibawa ke peringkat parti masing-masing untuk pengesahan,” katanya
Sementara itu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Annuar Musa juga dilihat positif berhubung kerjasama Pas-UMNO yang mampu memperkasakan muafakat ummah.
“Pas dan PN kekal fokus dan istiqamah dengan agenda memperkasa muafakat ummah. Soal kerusi boleh terus dirunding (sesama parti),” katanya. – UTUSAN











