BAKRI: Pengundi Melayu didakwa tidak berhasrat untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan berpotensi memberi kesan kepada kedudukan serta kuasa politik umat Islam di negeri ini sekiranya mereka gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat dalam kalangan pengundi Melayu yang memilih untuk tidak pulang mengundi atas pelbagai faktor termasuk menunaikan ibadah umrah.
Katanya, beliau bimbang dengan laporan mengenai 134 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina yang didakwa menggerakkan pengundi komuniti itu untuk pulang mengundi pada PRN Johor.
“Ada yang tidak mengundi kerana hendak menunaikan umrah. Kuasa politik amat penting kepada umat Islam dan justeru semua perlu bersatu serta keluar mengundi.
“Jadi pengundi Melayu, khususnya mereka yang berada di luar Johor, supaya pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini,” katanya selepas kempen Grand Finale Perikatan Nasional sempena PRN Johor di Simpang Jeram.
Semalam, media melaporkan sebanyak 134 persatuan Cina, termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), mengeluarkan kenyataan bersama menggesa pengundi Johor dan Negeri Sembilan pulang mengundi.
Selain KLSCAH, kenyataan bersama itu turut ditandatangani oleh Dong Zong, Jiao Zong, Merdeka University Berhad, pelbagai dewan perhimpunan Cina negeri, Centre for Malaysian Chinese Studies serta Yayasan Kebudayaan LLG.
Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu turut mengimbas kerjasama Pas dengan DAP dan PKR sebelum ini, yang menurutnya diasaskan atas matlamat menentang rasuah, penyelewengan dan beberapa dasar kerajaan Persekutuan ketika itu.
Namun, katanya, Pas memutuskan untuk berpisah dengan DAP kerana parti itu didakwa mahu Pas mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam.
“Apabila DAP meminta Pas mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam dan tidak lagi menyebut mengenainya, perkara itu tidak dapat kami terima.
“Apabila kita mahu menghalang arak dan judi di Kelantan, DAP membantah. Padahal, Perlembagaan Malaysia menyatakan hukum Islam dikenakan kepada orang Islam sahaja, manakala orang bukan Islam tidak dikenakan,” katanya. – UTUSAN










