Pas persoal kenapa Azlan Johar direhatkan

Pas persoal kenapa Azlan Johar direhatkan

Azlan Johar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas mempersoalkan tindakan sebuah stesen televisyen yang ‘merehatkan’ bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, sebagai pengulas sukan pertandingan Piala Dunia 2026 selepas diumumkan menyertai parti tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya melahirkan rasa dukacita apabila mendengar perkhabaran tersebut yang disifatkan sebagai penafian hak terhadap Azlan.

“Pas ingin tahu tindakan tersebut, jika benar, apakah ia ada kaitan dengan penyertaan Azlan Johar ke dalam Pas sebagaimana yang diisytiharkan di Seremban pada 13 Jun lalu.

“Pas berharap semua pihak yang berkaitan, termasuk Kerajaan Malaysia dan agensi-agensi di bawahnya, agar menghormati dan tidak merampas hak asasi seseorang warganegara, termasuk hak untuk berpersatuan dan berpolitik seperti dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan penafian hak terutamanya bagi figura seperti Azlan yang pernah mengulas dan menganalisis sukan bola sepak untuk lebih daripada 10 perlawanan Piala Dunia sepanjang kariernya.

Katanya, ia merupakan satu kerugian kepada negara dan mengecewakan rakyat khususnya peminat sukan tanah air.

“Azlan Johar bukan hanya merupakan bekas penyerang prolifik untuk pasukan negeri dan kebangsaan sekitar tahun 1980-an, malah beliau juga memegang lesen kejurulatihan bola sepak tahap tinggi dan kini merupakan Pengerusi Yayasan Lagenda.

“Justeru, Pas sebagai sebuah parti politik yang progresif dan demokratik menggesa pihak kerajaan agar memastikan perkara seperti ini tidak berlaku dan berterusan diamalkan selaras dengan slogan yang sebelum ini dilaungkan oleh parti-parti yang menjadi tunjang pemerintah, iaitu reformasi hak asasi rakyat dan institusi-institusi dalam negara,” katanya.

Sabtu lalu, Azlan diumumkan menyertai Pas secara rasmi oleh Takiyuddin pada Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Seremban.

Selain Azlan, turut diumumkan menyertai Pas adalah 13 tokoh termasuk bekas menteri dan bekas EXCO kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN