MARANG: Pas yang merupakan salah satu parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) mahu menjadi pembangkang dan penasihat kepada Kerajaan Negeri Johor apabila memutuskan bertanding 11 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), bermula esok.
Pada PRN kali ini, PN meletakkan calon di 33 kerusi menerusi gabungannya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di 16 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi dan Pejuang (satu kerusi) manakala bakinya ditandingi Pas.
Pembentukan Kerajaan Negeri Johor memerlukan mana-mana parti atau gabungan politik memperoleh majoriti mudah sebanyak 29 kerusi daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu yakin dapat mencapai sasaran menguasai 11 kerusi yang dipilih oleh kepemimpinan Pas Johor untuk ditandingi pada PRN kali ini termasuk menampilkan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Mazlan Bujang sebagai salah seorang calonnya.
“Kita bertanding 11 kerusi DUN, sasaran kita jadi pembangkanglah di Johor. Jadi pembangkang dan penasihat kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Beliau ditanya sasaran Pas pada PRN Johor yang bermula esok.
Abdul Hadi berkata, apa yang penting bagi Pas di PRN ini adalah kerajaan negeri kelak ditadbir oleh orang Melayu dan Islam.
“Johor kita mahu ditadbir oleh Melayu-Islam. Kita tidak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal dan bukan Islam. Biar orang Islam yang memerintah Johor. Itu yang penting,” katanya. – UTUSAN










