Kerajaan laksana Hari Bekerja Hibrid bermula 1 Ogos

Kerajaan laksana Hari Bekerja Hibrid bermula 1 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula 1 Ogos ini, penjawat boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif dan tiga hari di pejabat di bawah pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan. 

Katanya, HBH diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang bersetuju dengan pelaksanaan itu sebagai norma baharu perkhidmatan awam.

“HBH merupakan inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa pengurangan waktu bekerja. 

“Dengan HBH, penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan, berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026. 

“Semoga setiap keputusan yang dipersetujui membawa kebaikan kepada rakyat dan sentiasa dipandu dengan hikmah demi kesejahteraan negara. Insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa. 

Katanya, garis panduan dan syarat pelaksanaan HBH akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam masa terdekat.

“Penetapan HBH adalah mengikut Hari Kelepasan Mingguan (HKM) di setiap negeri. Bagi negeri yang menetapkan hari Ahad sebagai HKM, hari Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat. 

“Manakala bagi negeri yang menetapkan hari Jumaat sebagai HKM seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, hari Ahad dan Khamis ditetapkan sebagai hari kehadiran wajib ke pejabat,” katanya.

Tambah JPA, pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting Kerajaan kepada rakyat. 

“Perkhidmatan kaunter serta fungsi yang memerlukan kehadiran fizikal akan terus beroperasi seperti biasa. Ini termasuk sektor keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN