MARANG: ‘Perceraian’ antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk jentera kempen yang bergerak berasingan bukan strategi politik untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN) menjelang pilihan raya negeri dan umum.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sudah membatalkan kerjasama politik dengan Bersatu dan jentera parti masing-masing bergerak berasingan kerana Bersatu mendesak mahu menggunakan logo PN.
Pada masa sama, kata beliau, PN belum memecat Bersatu sebagai ahli gabungan berkenaan.
“Kita tetap dengan simbol, yang Bersatu saya tidak tahu strategi atau tidak. Mungkin strategi dia sendiri tetapi insya-Allah orang Pas akan bekerja,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Beliau ditanya tanggapan sesetengah pihak bahawa ‘penceraian’ Pas dan Bersatu hanya satu strategi politik yang mana kedua-dua parti berkenaan akan kembali ‘rujuk’ bagi menarik pengundi menyokong PN pada pilihan raya.
Pas dan Bersatu juga menggunakan logo sama malah menerima watikah pencalonan daripada individu yang serupa, namun kedua-dua parti itu berkempen secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula esok. – UTUSAN










