Zii Jia, Jun Wei terkandas di pusingan kedua Terbuka AS

Zii Jia, Jun Wei terkandas di pusingan kedua Terbuka AS

Lee Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada Srikanth Kidambi pada Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat (AS) di California, Amerika Syarikat, hari ini.

Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-65 dunia tunduk menerusi permainan straight set kepada pemain veteran India yang berada di ranking No. 38 dunia 14-21, 13-21 dalam masa 28 minit.

Kekalahan itu menyaksikan Kidambi yang berusia 33 tahun berjaya merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Zii Jia kepada 3-5.

Pemain berusia 28 tahun itu sanggup terbang jauh ke AS dengan harapan untuk mencari kembali rentak permainannya yang semakin merosot, tetapi, malangnya usaha tersebut turut tidak membuahkan hasil.

Masa semakin suntuk buat bekas pemenang All England itu memandangkan usianya sudah menjengah lewat 20-an dan kemunculan ramai pemain muda berbakat besar semakin menyukarkan laluan Zii Jia.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan membabitkan wakil Malaysia, Cheam Jun Wei turut menerima nasib serupa apabila tumpas kepada Misha Zilberman dari Israel 15-21, 19-21 dalam masa 36 minit.

Jun Wei, 29, yang menghuni ranking ke-73 dunia kini terikat rekod pertemuan 1-1 dengan Zilberman yang sudahpun berusia 37 tahun.

Kekalahan Zii Jia dan Jun Wei, bermakna tiada wakil negara yang berjaya mara ke suku akhir memandangkan Malaysia tidak menghantar ramai pemain beraksi pada Terbuka AS yang berstatus Super 300. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN