SELAYANG: Pembukaan Pusat Khidmat Non-Muslim Pas Selangor hari ini menjadi platform penting untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat.
Yang Dipertua Pas Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib berkata, pusat khidmat ini membuktikan komitmen parti untuk membantu komuniti.
“Hari ini kita mahu membuka minda, meluaskan pemikiran, dan mengubah segala salah faham masyarakat terhadap perjuangan Pas.
“Usaha mendekati masyarakat bukan Islam sudah lama dilakukan bagi menjaga kebajikan semua pengundi,” katanya di sini hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa kepimpinan tempatan sentiasa menolak unsur ekstremisme demi menjaga keharmonian awam.
Pegawai Khas Pejabat Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Shawn Loh Sheng Nian berkata, pusat itu berfungsi untuk mendengar masalah rakyat dan merapatkan hubungan kaum.
“Hanya melalui semangat saling menghormati, memahami, dan bekerjasama, kita mampu membina sebuah masyarakat yang lebih harmonis, stabil, dan makmur,” katanya.
Beliau menjelaskan, inisiatif itu mahu memastikan tiada golongan yang tertinggal daripada menerima bantuan kebajikan.
Penubuhan premis ini juga menjadi jambatan untuk menguruskan aduan dan isu sosial penduduk sekitar.
Dalam pada itu, majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan aktiviti sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Pihak penganjur mengagihkan bantuan beras percuma kepada penduduk sekitar untuk membantu meringankan kos sara hidup mereka. – UTUSAN










