KUALA LUMPUR: Semua kempen dan program Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) disusun semula ekoran perkembangan geopolitik yang berlaku di Iran sehingga menjejaskan perancangan asal.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sebulan untuk menyusun kembali pelaksanaan VM2026, yang sebelum ini sudah diumumkan dilanjutkan hingga penghujung 2027.
“Kita punya program ini, sekarang kita ada ubah sikit berikutan konflik Asia Barat yang masih berlarutan. Dalam sebulan ataupun sebulan setengah ini, kita sedang ubah balik semula (program VM2026), selepas itu nanti kita akan umumkan,” katanya pada di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kementerian menjelaskan mengenai perancangan program VM2026 susulan krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 bersetuju supaya pelaksanaan VM2026 dilanjutkan hingga penghujung 2027. – UTUSAN









