KUALA LUMPUR: Festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan terbesar di ibu negara apabila menghimpunkan barisan artis tempatan dan antarabangsa di Bukit Bintang dari 30 April hingga 2 Mei ini.
Acara tersebut mengetengahkan konsert muzik moden yang menggabungkan elemen air, visual serta persembahan bertenaga tinggi, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada pengunjung di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.
Antara artis tempatan yang bakal menggegarkan pentas utama termasuk Joe Flizzow, Mimi Fly, Killa Driz, DJ Cza, kumpulan Dolla dan De Fam, yang mewakili gabungan genre hip hop, pop dan muzik elektronik.
Selain itu, festival tersebut turut menampilkan barisan DJ antarabangsa seperti WUKONG dan Bassjackers yang tampil menerusi kolaborasi WUJACKERS, di samping artis dari rantau Asia termasuk Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran festival berkenaan adalah selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Beliau berkata, acara berskala besar seperti itu bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong antarabangsa, malah merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan melalui peningkatan perbelanjaan dalam sektor perhotelan, makanan dan peruncitan.
“Program seperti ini merupakan antara inisiatif penting dalam menjayakan VM2026, selain memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kreatif, dinamik dan berdaya saing.
“Ia bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu platform untuk mempromosikan negara kepada dunia melalui gabungan muzik, budaya dan pengalaman unik,” katanya.
Menurut beliau, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan imej negara terus terpelihara dan tidak dipengaruhi oleh persepsi negatif yang tidak berasas.
“Dalam usaha menarik pelancong dan pelaburan, kita tidak seharusnya mencetuskan provokasi atau memutar belit fakta yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Kita perlu menyokong usaha yang memberi impak positif kepada ekonomi negara, selagi ia dilaksanakan secara teratur dan mematuhi peraturan,” katanya.
Tambah beliau, sektor pelancongan kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara dan berperanan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Festival tersebut juga dilihat sebagai platform memperkenalkan bakat tempatan ke peringkat antarabangsa, selain mengangkat Kuala Lumpur sebagai destinasi hiburan urban yang berdaya saing di peringkat global. – UTUSAN








