KUALA LUMPUR: Penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 berjaya menjana RM392.33 juta selain menarik kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, acara sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 itu dilaksanakan menerusi kerjasama kerajaan dengan sektor swasta bagi merancakkan industri pelancongan negara.
“Festival utama yang berlangsung di Kuala Lumpur berjaya menarik sekitar 150,000 pengunjung domestik, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
“Malah acara ini berjaya menarik 100,000 pelancong antarabangsa dari China, Jepun, India, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menjelaskan sejauh mana penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 menyumbang kepada pengukuhan pelancongan.
Mengulas lanjut, King Sing turut berkata, selain Kuala Lumpur, program itu turut diperluaskan ke beberapa negeri termasuk Terengganu, Melaka, Labuan, Negeri Sembilan, Johor dan Langkawi yang secara keseluruhannya menarik kira-kira 165,000 pengunjung lagi.
“Hasil penganjuran festival utama di Kuala Lumpur dianggarkan menjana pulangan ekonomi sebanyak RM320.43 juta, manakala program di negeri-negeri lain menyumbang RM71.9 juta kepada ekonomi tempatan.
“Secara keseluruhan, festival ini berjaya menjana RM392.33 juta kepada ekonomi negara dengan kehadiran kira-kira 415,000 pengunjung,” katanya.
King Sing turut berkata, kerajaan memilih untuk mengekalkan kemasukan percuma kepada orang ramai walaupun acara itu berpotensi menjana puluhan juta ringgit menerusi jualan tiket.
“Sekiranya tiket dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 seorang, hasil yang boleh diperoleh dianggarkan mencecah antara RM50 juta hingga RM 75 juta.
“Kerajaan memilih untuk memberikan kemasukan percuma sebagai penghargaan kepada golongan pekerja sempena sambutan Hari Pekerja selain memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati acara bertaraf antarabangsa ini,” katanya. – UTUSAN










