Malaysia antara 10 negara pilihan pelancongan dunia

Malaysia antara 10 negara pilihan pelancongan dunia

SUASANA senja di Pulau Mantanani, Sabah yang memukau mata memandang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia pada suku pertama 2026 mencerminkan keberkesanan hala tuju dan pendekatan strategik kerajaan dalam memacu sektor pelancongan negara selari pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Berdasarkan data tempahan Trip.com dari 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Malaysia tersenarai dalam lima destinasi luar negara utama bagi pelancong dari Asia Tenggara dan China, selain berada dalam kelompok 10 destinasi utama pelancong dari Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan.

Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata, di peringkat global, Kuala Lumpur turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat kelapan dalam senarai bandar raya paling popular untuk dikunjungi, sebaris dengan Tokyo, Seoul dan Bangkok.

“Momentum Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar Asia terus mengukuh hasil kepelbagaian tarikan bandar, alam semula jadi serta destinasi mesra keluarga yang berteraskan warisan dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pencapaian tersebut dilihat seiring dengan pendekatan kepimpinan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang memberi penekanan kepada pemulihan menyeluruh sektor pelancongan serta pengukuhan daya saing Malaysia di peringkat global.

Sementara itu, data Trip.com menunjukkan corak perjalanan rakyat Malaysia yang kekal cenderung kepada destinasi serantau, dengan penerbangan jarak dekat kurang 2,000 kilometer serta jarak pertengahan antara 2,000 hingga 5,000 kilometer merangkumi sebahagian besar tempahan.

“Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuching dan Johor Bahru menjadi destinasi domestik paling popular, manakala China, Singapura, Jepun, Thailand dan Indonesia kekal sebagai pilihan utama luar negara,” katanya.

Dalam masa sama, tarikan taman tema terus mencatat permintaan tinggi, khususnya bagi aktiviti mesra keluarga, sejajar dengan fokus kementerian untuk mempelbagaikan produk pelancongan dan meningkatkan pengalaman pelawat menjelang VM2026.

“Di peringkat domestik, Genting SkyWorlds, Sunway Lagoon dan Skytropolis dikenal pasti sebagai antara tarikan paling popular berdasarkan data tempahan Trip.com bagi 2026,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN