KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pembangunan sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional bagi memperkukuh pemantauan dan keselamatan aktiviti mendaki di seluruh negara.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, cadangan tersebut berpotensi untuk meningkatkan kecekapan pengurusan aktiviti pendakian, khususnya dalam aspek keselamatan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, ketika ini pendaftaran aktiviti pendakian dilaksanakan secara manual atau melalui platform dalam talian yang diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri.
“Cadangan untuk mewujudkan satu sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional adalah satu inisiatif yang berpotensi untuk memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan aktiviti pendakian
“Sistem sedemikian boleh membantu dalam merekod pergerakan pendaki secara lebih sistematik, mempercepatkan proses pengesanan sekiranya berlaku kecemasan serta menyokong pelaksanaan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dengan lebih berkesan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan pembangunan sistem pendakian secara digital bagi memantau aktiviti pendakian secara sistematik
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, pihaknya melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang membangunkan Sistem Pengurusan Trek Pendaki berasaskan teknologi geospatial.
“Sistem ini menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan penderiaan jauh bagi memetakan serta memantau laluan pendakian secara lebih berpusat, selain meningkatkan keupayaan operasi SAR melalui analisis spatial yang lebih tepat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan dan kemahiran Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang berperanan sebagai barisan hadapan keselamatan pendaki.
Menurutnya, pelbagai latihan dan program pensijilan dilaksanakan secara berkala meliputi aspek keselamatan, pengurusan risiko, pertolongan cemas, ikhtiar hidup serta teknik mencari dan menyelamat.
“Kerajaan bersama kerajaan negeri serta pihak berkepentingan sentiasa meneliti penambahbaikan dari segi kebajikan, kompetensi dan profesionalisme Malim Gunung agar peranan mereka terus diperkasakan,” katanya. – UTUSAN








