KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,059 kes kemalangan membabitkan aktiviti pendakian direkodkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025 dengan 63 daripadanya melibatkan kematian.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), 87 kes kecederaan juga dilaporkan dalam tempoh sama.
Menurutnya, sehubungan itu, kementerian memandang serius aspek keselamatan rekreasi hutan dan aktiviti pendakian di seluruh negara.
“Bagi memperkukuh pengurusan keselamatan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan sokongan United Nations Development Programme (UNDP) telah membangunkan Garis Panduan Kebangsaan Penilaian dan Pengurusan Risiko Gunung (MoGRAM) sebagai rujukan teknikal bagi mitigasi risiko dan pengurusan kapasiti laluan pendakian.
“JPSM juga turut mewajibkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) di 189 kawasan pendakian berisiko tinggi sebagai jurupandu bertauliah yang membantu aspek keselamatan, tindak balas kecemasan serta pematuhan amalan pendakian.
“Sehingga kini, seramai 2,322 individu termasuk komuniti Orang Asli telah ditauliahkan sebagai MGP melalui program pembangunan kemahiran tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan jumlah kemalangan dan kematian akibat aktiviti pendakian yang telah direkodkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan memberi fokus kepada penerapan standard antarabangsa Sistem Pengurusan Keselamatan Kembara Pelancongan (ATSMS).
“Piawaian ini digunapakai untuk menstrukturkan mekanisme pengurusan risiko, tahap kecekapan kakitangan, prosedur tindakan kecemasan serta penyelenggaraan peralatan dan fasiliti.
“Langkah ini disokong dengan penguatkuasaan prosedur kualiti pendaftaran dan permit masuk di pejabat Taman Negara berkaitan bagi tujuan rekod keselamatan dan kawalan had tampung aktiviti,” katanya.
Beliau berkata, mekanisme mitigasi risiko ini diperkukuhkan lagi dengan mewajibkan saringan kesihatan awal pendaki melalui perakuan kesihatan bagi memastikan tahap fizikal mereka bersesuaian dengan gred kesukaran rentis yang diterokai.
“Di samping itu, penguatkuasaan khidmat pemandu pelancong alam semula jadi bertauliah, taklimat keselamatan mandatori, program latihan kesedaran awam (CEPA) kepada penggiat pelancongan serta penutupan sementara laluan semasa musim monsun turut dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – UTUSAN










