KUALA LUMPUR: Beberapa langkah kawalan ditetapkan supaya tidak ada mana-mana syarikat perkhidmatan media sosial memanipulasi aspek pengesahan usia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut termasuklah dengan rekod rasmi kerajaan termasuk MyKad, sijil kelahiran dan pasport dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri.
“Selain itu, semua proses tertakluk kepada keperluan perlindungan data dan had penggunaan maklumat.
“Pada masa sama, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang, termasuk penalti kewangan boleh dikenakan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai tujuan pelaksanaan pengesahan usia bagi akaun media sosial dan bagaimana kementerian memastikan penyedia perkhidmatan berlesen hanya diberikan akses tersebut.
Katanya lagi, pemberi perkhidmatan media sosial juga perlu melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam bentuk reka bentuk dan mempertingkat perlindungan bersesuaian dengan usia bagi pengguna kanak-kanak.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan CPC dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.
“Obligasi di bawah kod itu terpakai kepada Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) berlesen (Pemberi Perkhidmatan Berlesen) di bawah Akta 866.
“Pengguna yang mencapai usia 16 tahun dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun media sosial, manakala individu di bawah usia itu tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial sehingga mencapai usia yang ditetapkan.
“Pelaksanaan pengesahan usia ini bukan bertujuan menghalang atau melarang kanak-kanak daripada menggunakan media sosial secara kekal, sebaliknya untuk menangguhkan pemilikan akaun media sosial sehingga mereka mencapai usia 16 tahun dan mempunyai tahap kematangan yang lebih sesuai bagi menggunakan platform itu secara selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, selain dokumen rasmi seperti MyKad, CPC membenarkan penggunaan dokumen lain yang diiktiraf kerajaan Malaysia, termasuk rekod setara yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten di bidang kuasa lain supaya akses kepada perlindungan dalam talian dapat diberikan secara saksama kepada semua kanak-kanak.
“Pemberi perkhidmatan media sosial perlu memastikan proses pengesahan usia mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi, termasuk prinsip peminimuman data dan pengehadan tujuan dengan mengehadkan pengumpulan data kepada maklumat yang diperlukan bagi tujuan pengesahan usia serta melupuskannya selepas tujuan itu selesai dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










