Parlimen: Guru bukan opsyen tidak jejas kualiti pendidikan

Parlimen: Guru bukan opsyen tidak jejas kualiti pendidikan

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penempatan guru bukan opsyen bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar tidak menjejaskan kualiti pendidikan negara apabila majoriti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dikendalikan mencapai tahap baik dan cemerlang.  

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan pencerapan yang dilaksanakan pihaknya pada tahun lalu secara keseluruhan apabila sebanyak 63.87 peratus PdP guru bukan opsyen dinilai berada pada taraf Baik dan Cemerlang. 

“Malah, bagi guru bukan opsyen Bahasa Melayu, sebanyak 96.75 peratus telah berjaya melepasi tahap cekap iaitu Tahap 4 dan Tahap 5 melalui Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru (UPBMG).

“Selain itu, peningkatan prestasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dicapai bagi tempoh 2021 hingga 2025 melalui Gred Purata Kebangsaan (GPK) daripada 4.86 kepada 4.42 serta peningkatan bilangan calon layak sijil kepada 94.29 peratus membuktikan pelaksanaan intervensi ini tidak menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) berhubung penilaian kementerian terhadap impak guru mengajar subjek bukan opsyen terhadap keberkesanan pembelajaran murid serta langkah mengurangkan ketidakpadanan opsyen di sekolah. 

Fadhlina justeru itu berkata, pelaksanaan penempatan guru bukan opsyen bagi memenuhi keperluan mendesak sekolah tidak menjejaskan kualiti pendidikan dan keberkesanan pembelajaran murid.

Katanya, penempatan guru bukan opsyen dilaksanakan sebagai intervensi operasi jangka pendek bagi memenuhi keperluan mendesak sekolah.

Beliau berkata, pelaksanaannya mengambil kira faktor kekosongan jawatan semasa, enrolmen murid, lokaliti serta kepentingan perkhidmatan pendidikan di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM terus memperkukuh sokongan instruksional bagi membantu guru meningkatkan keberkesanan pengajaran menerusi penambahbaikan peranan School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+).

Katanya, peranan SISC+ kini diperluaskan daripada pembimbing mengikut bidang kepada pembimbing pedagogi dan kurikulum mengikut mata pelajaran bagi memastikan sokongan diberikan lebih bersesuaian dengan keperluan guru di sekolah.

“Pada masa sama, KPM melalui Institut Aminuddin Baki (IAB) terus memperkasa kepimpinan sekolah menerusi bimbingan profesional School Improvement Partners (SIP+) secara berterusan.

“Sebagai pelan pengukuhan awal di peringkat akar umbi, KPM turut menetapkan sasaran agar sekurang-kurangnya 20 peratus guru Tahap I sekolah rendah dibangunkan kompetensi mereka untuk mengajar semua mata pelajaran teras kecuali Pendidikan Islam,” katanya.

Menurut Fadhlina, kementerian turut melaksanakan pengagihan guru secara bersasar berasaskan waran perjawatan yang dipantau rapi menerusi Sistem e-Operasi bagi memastikan keperluan tenaga pengajar dapat diurus dengan lebih berkesan.

Katanya, KPM juga memperkukuh latihan semula merentas pengkhususan melalui Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) selain menyediakan unjuran keperluan guru bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Langkah ini bertujuan memetakan data persaraan serta bekalan guru secara sistematik bagi membantu KPM memantau keperluan opsyen dari semasa ke semasa.

“Melalui pendekatan holistik ini, KPM akan terus berusaha mengurangkan isu ketidakpadanan opsyen secara berperingkat demi melahirkan sistem pendidikan negara yang lebih dinamik, anjal dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN