KUALA LUMPUR: Akta Jenayah Komputer 1997 bakal dimansuhkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU tersebut diperkenalkan bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi obligasi antarabangsa berkaitan jenayah siber selain memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks.
Beliau berkata, RUU berkenaan mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal serta memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah siber.
Katanya, perkembangan teknologi ketika ini menyebabkan ancaman siber tidak lagi terhad kepada pencerobohan sistem komputer dan kecurian data semata-mata.
“Ancaman jenayah siber kini turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi, serangan perisian tebusan (ransomware) serta penyalahgunaan teknologi memuncul seperti kecerdasan buatan (AI).
“Justeru, negara memerlukan sebuah kerangka perundangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan usaha pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata, RUU Jenayah Siber 2026 akan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, penggubalan undang-undang baharu itu diyakini mampu menambah baik ekosistem keselamatan ruang siber negara sekali gus mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan dipercayai.
“Kerangka perundangan yang lebih mampan bukan sahaja akan melindungi rakyat secara lebih menyeluruh, malah menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya.
Bacaan kali kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Julai depan. – UTUSAN










