KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka menerima tambahan 5,845 guru baharu daripada kalangan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang akan ditempatkan di sekolah seluruh negara pada Ogos ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengisian jawatan guru dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam kalangan graduan pendidikan lepasan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara berdasarkan keperluan semasa di sekolah KPM.
“Seramai 8,042 guru baharu telah dilantik sehingga 10 Jun lalu berdasarkan unjuran tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen mata pelajaran di sekolah di bawah KPM.
“Graduan yang berjaya melepasi syarat lantikan, memenuhi kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temuduga akan ditawarkan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa melantik,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai jumlah graduan pendidikan yang masih belum ditempatkan sebagai guru tetap, punca perkara itu berlaku serta pelan penyelesaian terhadap masalah berkenaan.
Tambah Fadhlina, antara pelaksanaan oleh KPM adalah melalui pengambilan guru sebanyak dua kali setahun.
Katanya, kaedah ini memberi peluang kepada graduan pendidikan untuk dilantik sebagai guru KPM dalam tempoh yang singkat selepas bergraduat.
“Graduan pendidikan yang telah memperoleh keputusan senat boleh membuat permohonan melalui portal mySPP yang dibuka sepanjang tahun.
“KPM akan terus komited menambah baik proses pengisian jawatan guru baharu dengan mempertingkatkan sinergi serta kerjasama rapat dengan SPP dan agensi pusat bagi memastikan isu kekurangan guru di seluruh negara dapat ditangani,” katanya. – UTUSAN










