Inovasi pendidikan PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) yang dibangunkan oleh guru daripada pedalaman Paitan, Beluran Sabah, Lorenica Frenila Masundim, berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih dua anugerah emas dalam pertandingan inovasi antarabangsa yang diadakan di Universitas Negeri Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
PASCA-ج menerima pengiktirafan emas dalam kedua-dua pertandingan International Invention & Innovation Competition (IC 2026) dan Innovation World Cup (IWC 2026) yang menghimpunkan penyelidik, pendidik dan pencipta inovasi daripada pelbagai negara.


PASCA-ج merupakan inovasi pendidikan yang dibangunkan bagi membantu pengguna yang baru mengenali tulisan Jawi menguasai kemahiran membaca dan menulis tulisan tersebut dengan cepat melalui kaedah transliterasi yang sistematik dan mesra pengguna. Inovasi tersebut menggabungkan elemen warisan budaya dan teknologi digital melalui aplikasi interaktif yang boleh digunakan pada telefon pintar dan komputer.
Menurut Lorenica Frenila, idea membangunkan PASCA-ج tercetus daripada keperluan membantu dirinya dan murid-murid yang menghadapi kesukaran membaca tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Melalui pembangunan berterusan daripada versi 1.0 hingga 5.0, aplikasi tersebut kini dilengkapi dengan fungsi transliterasi Rumi–Jawi dan Jawi–Rumi, latihan interaktif, kuiz, penjanaan sijil automatik serta panduan pembelajaran yang mudah difahami.
“Anugerah ini bukan sahaja pengiktirafan terhadap inovasi PASCA-ج, tetapi juga bukti bahawa warisan tulisan Jawi masih relevan dan boleh dipelihara melalui penggunaan teknologi moden,” katanya yang menerima anugerah tersebut bersama rakannya daripada sekolah yang sama Alexius Jillyne Engkamat dan bekerjasama menghasilkan inovasi berkenaan di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa usaha memartabatkan tulisan Jawi mampu diterima oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama apabila disampaikan melalui pendekatan yang inklusif dan inovatif.
Sebagai langkah seterusnya, PASCA-ج akan melalui proses pengesahan pakar sebelum diperluaskan kepada masyarakat melalui platform digital seperti Google Play Store dan Apple App Store.
Kejayaan meraih dua anugerah emas di pentas antarabangsa itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan tulisan Jawi serta mengangkat Malaysia sebagai negara yang berjaya menggabungkan warisan budaya dengan inovasi teknologi pendidikan.-UTUSAN









