GEORGE TOWN: Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) menjadi pemacu baharu bagi pembangunan industri semikonduktor bernilai tinggi di wilayah utara dengan sasaran menarik pelaburan baharu berjumlah RM8.5 bilion menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran itu akan direalisasikan menerusi pembangunan teknologi pembungkusan termaju atau Advanced Packaging (AP) melalui inisiatif Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC).
Menurut beliau, APIRC merupakan langkah strategik bagi memastikan Malaysia tidak terus tertumpu kepada aktiviti pemasangan dan pengujian semikonduktor semata-mata, sebaliknya beralih kepada segmen yang lebih kompleks serta bernilai tinggi.
“Melalui APIRC, kita menyasarkan pelaburan baharu sebanyak RM8.5 bilion dan pembangunan 12 syarikat tempatan dalam ekosistem Advanced Packaging menjelang 2030. Ini bukan sekadar angka pelaburan, tetapi usaha untuk memastikan lebih banyak nilai, kepakaran dan peluang ekonomi kekal di Malaysia,” katanya selepas merasmikan NTIC di Bayan Lepas, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam industri semikonduktor bagi memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), reka bentuk sistem, pembungkusan termaju, automasi dan pembangunan peralatan.
Katanya, aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan prototaip serta pengkomersialan teknologi juga perlu diperkasakan bagi meningkatkan daya saing negara dalam rantaian bekalan global.
“Pelaburan berkualiti mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti. Justeru, kejayaan NTIC dan APIRC bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi melalui bakat tempatan yang dibangunkan, gaji yang meningkat dan syarikat tempatan yang mampu naik ke rantaian nilai lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata, manfaat APIRC dijangka melimpah ke seluruh wilayah utara membabitkan Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak menerusi pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi serta peningkatan aktiviti inovasi dan teknologi selain membuka peluang luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai rantaian bekalan industri semikonduktor global.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, NTIC berfungsi sebagai platform pembangunan teknologi melibatkan Industri 4.0, robotik, ujian sistem, reka bentuk IC serta pelbagai penyelesaian kejuruteraan.
Menurutnya, pusat berkenaan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama iaitu pembuatan bernilai tinggi, perkhidmatan termaju dan pertanian moden, selain menghubungkan kerjasama strategik antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti.
“Sejak 2023, NTIC telah merekodkan pelaburan kumulatif RM70 bilion, melantik 25 penyedia Centre of Excellence (CoE), membantu menaik taraf rantaian nilai 68 syarikat tempatan serta menghasilkan 16 harta intelek di wilayah utara.
“Pusat ini turut melahirkan 1,452 bakat berkemahiran tinggi dan mewujudkan 5,074 peluang pekerjaan menerusi pelbagai program pembangunan teknologi dan inovasi,” katanya. – UTUSAN







