Negara berdaulat perlu tegas pertahan perdagangan bebas 

Negara berdaulat perlu tegas pertahan perdagangan bebas 

ANWAR Ibrahim menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Future of Asia di Tokyo, Jepun bertajuk Navigating Strategic Uncertainty. PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara berdaulat perlu lebih berani dan tegas dalam mempertahankan prinsip perdagangan bebas serta menolak pelaksanaan tarif bersifat punitif dan dasar diskriminasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berpendirian jelas berhubung isu tarif serta menggesa negara lain untuk lebih tegas menyuarakan pandangan mengenai perdagangan bebas dan multilateralisme.

“Adakah kita bersetuju bahawa perlu ada tarif punitif atau dasar diskriminasi? (Tidak) kita tidak bersetuju. Adakah kita menyokong perdagangan bebas? (Jika ya), maka nyatakannya sebagai satu dasar.

“Sudah tentu, anda tahu batasannya tetapi anda (tetap) perlu menyatakannya. Jika tidak, anda tidak menyumbang kepada pemikiran baharu ini,” katanya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, Jepun hari ini.

Mengulas peranan ASEAN dalam berdepan dasar perlindungan kuasa-kuasa besar dunia, Anwar berkata, blok serantau itu perlu terus mengadakan hubungan secara aktif dan dinamik dengan semua negara sambil mengekalkan prinsip kepusatan ASEAN serta pendirian bebasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan rakan dagang dan pelabur terbesar negara.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tetap tidak bersetuju dengan pelaksanaan tarif yang dikenakan secara unilateral.

“Adakah saya menyuarakan perkara ini kepada Presiden Donald Trump? Sudah tentu. Saya menyatakannya ketika mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN yang dianjurkan Malaysia.

“Kita juga mengharapkan negara-negara lain mengambil pendirian yang sama supaya satu konsensus dapat dibentuk. Setiap negara mempunyai keutamaan tersendiri dan ini bukan soal siapa menang atau kalah,” katanya.

Anwar turut menegaskan penyertaan Malaysia dalam BRICS tidak bermaksud negara menjauhkan diri daripada hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin dengan AS.

Sebaliknya, beliau berkata, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan BRICS dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dilihat semakin berkembang terutama dalam bidang teknologi serta peralihan tenaga.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN