PETALING JAYA: Pelakon, Nazim Othman mengakui berdepan detik cemas apabila tidak sengaja tercucuk mata pelakon, Nia Atasha ketika menjalani penggambaran satu babak dalam drama bersiri Griya.
Nazim atau Nushrul Alif Othman, 42, berkata, kejadian itu berlaku ketika mereka menjalani babak aksi yang memerlukan dirinya mengasari watak Nia dalam sebuah adegan di lokasi penggambaran.
“Babak itu, saya kena mengasari Nia. Apabila tukar kedudukan kamera semasa mencari sudut (angle), kami sedikit tersasar dan jari saya tercucuk mata dia.
“Terus saya rasa cemas, rasa bersalah sangat sebab mata itu sangat sensitif. Saya fikir macam mana ini, perempuan pula itu, memang saya sangat risau,” katanya.
Nazim berkongsi mengenai perkara berkenaan ketika ditemui dalam sidang media Watch Party drama bersiri Griya, semalam.
Jelas Nazim, walaupun babak tersebut merupakan lakonan, dia tetap rasa bersalah disebabkan kecederaan itu melibatkan bahagian yang sensitif iaitu mata.
Malah, Nazim turut menyifatkan Nia sebagai pelakon yang sangat profesional dan masih mampu menenangkan keadaan walaupun dirinya sendiri berada dalam situasi tidak selesa.
“Nia seorang pelakon yang sangat profesional dan matang. Dia yang tenangkan saya sebab saya terlalu risau ketika itu,” katanya.
Tambahnya, insiden itu turut menyebabkan penggambaran tergendala seketika kerana masing-masing perlu menenangkan diri sebelum sambung semula.
“Babak itu memang ganas, tapi lepas kejadian itu kami kena berhenti sekejap sebab saya sendiri kena tenangkan diri.
“Penggambaran ambil masa lebih kurang 15 minit untuk set semula, dan saya masa itu sudah menggeletar,” katanya. -UTUSAN










