SEREMBAN: Malaysia akan terus mempertahankan hak sebagai sebuah negara berdaulat untuk menghalang kemasukan mana-mana warganegara Israel ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu bukan dasar baharu, sebaliknya telah dilaksanakan Malaysia sejak puluhan tahun lalu
Ia susulan kekejaman, penjajahan dan pembunuhan berterusan yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
Menurutnya, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan atau tekanan mana-mana pihak yang mempertikaikan dasar tersebut.
“Ternyata mereka langsung tidak mengikuti perkembangan itu. Banyak negara yang melarang dan Malaysia sudah melarang sejak puluhan tahun lalu.
“Mereka boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tetap tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia untuk terus menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Jelajah Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa susulan larangan terhadap warganegara Israel.
Anwar berkata, dakwaan itu adalah tidak berasas memandangkan Malaysia berhak menentukan dasar negaranya sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Tindakan kita terhadap Israel adalah kerana kezaliman mereka, penjajahan dan pembunuhan yang berlaku setiap hari.
“Malaysia ialah sebuah negara merdeka. Kalau mereka yang bercakap itu tidak merdeka atau tidak bebas menyuarakan pandangan, kita bebas bersuara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan Malaysia tidak mempunyai masalah dengan rakyat beragama Yahudi, sebaliknya pendirian negara hanya terhadap warganegara Israel yang dikaitkan dengan tindakan kejam terhadap rakyat Palestin.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan AS.-UTUSAN









