Dua juta rakyat sambut juara dunia

Dua juta rakyat sambut juara dunia

PENYOKONG Sepanyol berpesta menyambut kepulangan wira mereka yang menjulang Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Jalan-jalan utama ibu negara Sepanyol bertukar menjadi lautan merah dan kuning apabila kira-kira dua juta penyokong membanjiri Madrid bagi meraikan kejayaan skuad La Roja menjulang Piala Dunia 2026.

Sambutan berkenaan disifatkan antara terbesar dalam sejarah negara itu selepas kejayaan menewaskan Argentina 1-0 menerusi jaringan Ferran Torres pada masa tambahan di Stadium New York New Jersey, kelmarin.

Skuad kendalian Luis de la Fuente disambut sebagai wira sebaik tiba di tanah air sebelum memulakan perarakan menaiki bas terbuka merentasi beberapa lokasi ikonik di Madrid menuju ke Dataran Cibeles, lokasi tradisi bagi meraikan kejayaan terbesar bola sepak Sepanyol.

Sepanjang laluan perarakan, ribuan bendera Sepanyol berkibar megah manakala laungan ‘Campeones! Campeones!’ bergema tanpa henti ketika para pemain berkongsi detik bersejarah bersama penyokong yang memenuhi setiap inci jalan raya.

Suasana kemeriahan memuncak apabila skuad La Roja tiba di pentas utama di Dataran Cibeles yang dipenuhi puluhan ribu penyokong, dengan setiap pemain serta barisan kejurulatihan diperkenalkan seorang demi seorang sambil mengenakan kemeja-T khas bertulis We Are Champions.

Sorakan paling gemuruh diberikan kepada kapten pasukan, Rodri yang mengemudi Sepanyol sepanjang kempen cemerlang mereka di Amerika Syarikat sebelum mengangkat trofi Piala Dunia di hadapan jutaan rakyat yang hadir meraikan kejayaan tersebut.

Malah, sambutan itu turut diserikan dengan ucapan tahniah daripada penyanyi terkenal dunia, Shakira menerusi rakaman video khas yang dipaparkan kepada pemain dan penyokong.

“Sepanyol menunjukkan kepada dunia erti kerjasama dengan satu matlamat dan satu hati,” katanya.

Bagi ketua jurulatih, Luis de la Fuente, kejayaan tersebut membuktikan kekuatan sebenar sesebuah pasukan terletak pada perpaduan dan semangat kekeluargaan yang dibina sejak sekian lama.

“Kita lebih kuat apabila bersatu,” katanya ringkas, namun penuh makna di hadapan lautan penyokong yang memenuhi dataran bersejarah itu.

Sebelum menyertai sambutan besar-besaran bersama rakyat, skuad La Roja terlebih dahulu menghadap Raja Felipe VI dan keluarga diraja Sepanyol sebelum diraikan oleh Perdana Menteri, Pedro Sanchez.

Dalam ucapannya, Raja Felipe memuji keberanian, kebijaksanaan serta ketabahan yang dipamerkan pemain-pemain Sepanyol sepanjang kejohanan sehingga berjaya mengembalikan trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia ke bumi Sepanyol.

“Pasukan ini menunjukkan kepada dunia bahawa bakat, disiplin dan semangat juang mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” titahRaja Felipe.

Sementara itu, Rodri mengakui kejayaan menjulang Piala Dunia merupakan pencapaian terbesar sepanjang kariernya, mengatasi segala trofi yang pernah dimenanginya di peringkat kelab.

“Saya sentiasa percaya memenangi trofi bersama negara adalah pencapaian paling indah, lebih-lebih lagi apabila ia adalah Piala Dunia.

“Generasi kami membesar dengan menyaksikan Iker Casillas dan Andres Iniesta menjulang trofi ini. Kini kami berjaya melakukannya sendiri dan ia adalah detik paling bermakna dalam hidup saya sebagai pemain bola sepak,” ujarnya.

Memandangkan Sepanyol bakal menjadi tuan rumah bersama Portugal dan Maghribi bagi Piala Dunia 2030, impian untuk mencipta sejarah baharu mula diperkatakan secara terbuka.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez percaya kejayaan kali ini boleh menjadi permulaan kepada era kegemilangan baharu buat bola sepak Sepanyol.

“Rekod kami dua final, dua kejuaraan. Mengapa tidak bermimpi untuk gelaran ketiga pada 2030 ketika kami menjadi tuan rumah?,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN