PETALING JAYA: Gempa bumi bermagnitud 5.7 melanda Sumatera utara, Indonesia mengakibatkan gegaran turut dirasai oleh penduduk di sekitar Lembah Klang.
Jabatan Meteorologi berkata, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 10km dengan pusat gempa terletak 55km di barat daya Langsa, Indonesia pada 12.18 tengah hari tadi.
“Gegaran dirasai di pantai barat Semenanjung Malaysia,” katanya dalam catatan Facebook.
Beberapa warganet melaporkan merasai gegaran di Petaling Jaya, Kajang, Puchong, Klang dan Selayang.
Ini bukan kali pertama gempa bumi di Sumatera utara menyebabkan gegaran di Malaysia.
Mac lalu, gempa bermagnitud 6.5 dikesan di pesisir barat Sumatera utara menyebabkan gegaran di Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan.
Pada Februari 2022, penghuni pelbagai bangunan tinggi di Lembah Klang dan Melaka dipindahkan selepas mengalami gegaran akibat gempa bumi bermagnitud 6.1 di Sumatera utara.- UTUSAN










