ISKANDAR PUTERI: Premis Network School di Forest City, di sini dilihat tidak beroperasi susulan arahan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), berkuat kuasa hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di premis tersebut mendapati satu notis pemberitahuan penutupan sementara ditampal pada pintu masuk utama premis berkenaan.
Tinjauan juga mendapati papan tanda yang sebelum ini memaparkan nama Network School yang dipasang di pintu masuk premis berkenaan telah diturunkan.
Bagaimanapun, kelihatan beberapa pengawal keselamatan masih dilihat berada di dalam kawasan premis bagi mengawal keadaan daripada sebarang Insiden yang tidak diingini.
Semalam, MBIP mengumumkan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia (Network School) selain mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Tindakan tersebut susulan pelanggaran yang dikenal pasti iaitu menjalankan operasi di satu premis tanpa lesen yang sah selain tidak mematuhi syarat penggunaan premis yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Negeri turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau syarat pelesenan, selain mengingatkan semua pengusaha perniagaan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan yang berkuat kuasa.-UTUSAN










