PETALING JAYA: Pas dan UMNO adalah parti yang mempunyai kekuatan, ideologi sama dan kubu tersendiri dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas, Dr. Tengku Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, adalah lebih baik buat UMNO menerusi gabungan Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan semula keputusan bertanding solo dan berunding dengan Pas.
Beliau berkata, sekiranya kedua-dua parti itu bergabung, tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) seperti di Johor Jaya dan Tangkak semasa PRN15 dapat dirampas semula.
“Jika Pas masuk bertanding di kawasan kubu UMNO dan berlaku tiga penjuru atau lebih, ada beberapa kemungkinan sama ada UMNO menang, Pas menang atau PH menang. Disebabkan Pas dan UMNO berkongsi segmen pengundi yang sama, bertembung tiga penjuru hanya menguntungkan PH yang didominasi DAP.
“Adapun jika Pas dan UMNO menjayakan Muafakat Nasional, ia satu formula paling mujarab untuk pilihan raya dan kebaikan agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.
Beliau berkata, pembubaran DUN Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada gelombang perubahan dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan bumiputera.
Tengku Fakhruddin yang juga ADUN Sura, Terengganu, berkata, pentadbiran negara akan terus bergolak sekiranya Pas dan UMNO gagal membina permuafakatan.
“Tindakan kerajaan yang mencarik sensitiviti rakyat teramai terus berlaku serta keputusan dan dasar yang bersifat eksklusif kepada kelompok tertentu terus berbangkit.
“Titik mula Muafakat Nasional di Johor adalah sinar kesejahteraan Malaysia untuk hari mendatang,” katanya.-UTUSAN










