Mind Bloomy perkasa akademik, sempena cuti sekolah

Mind Bloomy perkasa akademik, celik kewangan pelajar sempena cuti sekolah

Sebahagian daripada 80 pelajar yang menghadiri program pendidikan anjuran Mind Bloomy Elite Camp (MBEC ‘26) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lebih 80 pelajar daripada seluruh negara memanfaatkan cuti persekolahan dengan menyertai program pendidikan anjuran Mind Bloomy yang memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik serta literasi kewangan.

Program Mind Bloomy Elite Camp (MBEC’26) yang diadakan secara dalam talian pada 3 dan 4 Jun lalu menghimpunkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dalam sesi pembelajaran intensif melibatkan empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Sepanjang program itu, peserta didedahkan kepada teknik ulang kaji berkesan, strategi menjawab soalan serta tips peperiksaan yang selari dengan silibus kebangsaan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik mereka.

Guru Besar Mind Bloomy, Nur Amira Hasnul Hadi berkata, program tersebut diwujudkan bagi memastikan pelajar terus mengekalkan momentum pembelajaran walau pun ketika cuti sekolah.

“Ramai pelajar berdepan cabaran untuk mengulang kaji secara konsisten tanpa bimbingan yang betul.

“Melalui program ini, mereka dibantu memahami konsep pembelajaran dengan lebih mudah selain menguasai teknik menjawab soalan dan membina keyakinan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mind Bloomy turut menganjurkan program Money Smart Kids Johor Siri 1 pada 7 Jun lalu yang melibatkan kanak-kanak berusia antara enam hingga 14 tahun.

Program berbentuk fizikal itu memberi pendedahan awal mengenai pengurusan kewangan termasuk amalan menabung, membuat pilihan perbelanjaan yang bijak serta memahami nilai wang dalam kehidupan seharian.

Seorang peserta, Raisha Husna Muhammad Ridzuan, 6, berkata, program tersebut membantunya memahami kepentingan mengurus wang melalui konsep tiga tabung iaitu Belanja, Simpan dan Sedekah.

“Saya belajar cara menyimpan duit dan menggunakannya dengan baik. Program ini sangat menyeronokkan dan saya dapat ramai kawan baharu,” katanya.

Menurut Mind Bloomy, kejayaan penganjuran kedua-dua program itu mencerminkan komitmen berterusan organisasi tersebut dalam menyediakan pendidikan berkualiti, holistik dan relevan dengan keperluan semasa.

Selain program akademik dan pembangunan bakat, Mind Bloomy turut menawarkan pelbagai program intervensi khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, disleksia, serta kelewatan perkembangan.

Program berkenaan dikendalikan oleh pasukan juru intervensi dan Occupational Therapist (OT) berpengalaman bagi membantu setiap kanak-kanak mencapai potensi terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Mind Bloomy turut membuka peluang kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak dalam pelbagai program pendidikan, bengkel kemahiran, pembangunan bakat dan sokongan intervensi yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar masa kini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN