Mesyuarat PN perlu keizinan Ahmad Samsuri

Mesyuarat PN perlu keizinan Ahmad Samsuri

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dilaksanakan tanpa keizinan Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu ditegaskan susulan penerimaan maklum balas rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan gabungan berkenaan.

Katanya, RoS menerusi surat bertarikh 19 Jun 2026 yang ditujukan kepadanya mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN bertarikh 22 Februari 2026.

“RoS turut mengambil maklum mengenai kelulusan Majlis Tertinggi (MT) terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN sebelum ini serta pelantikan pengerusi baharu gabungan tersebut.

“RoS juga mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat Majlis Tertinggi (Bil. 1/2026) bertarikh 14 Mac 2026 dan senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN yang baharu untuk direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, PN kekal komited memastikan semua aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832.

“Justeru, adalah ditegaskan bahawa sebarang aktiviti mahupun mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan keizinan Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya.

Terdahulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengadakan satu mesyuarat MT PN malam ini.

Poster yang memaparkan gambar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijana kecerdasan buatan (AI) turut tular di media sosial.

Menurut poster berkenaan, pemimpin MT PN dijadualkan mengadakan mesyuarat pada pukul 8 malam di ibu pejabat Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×