TELUK INTAN: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming Kor Ming memuji komitmen anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang semasa mendaki di Gunung Batu Putih dekat Tapah selama hampir dua minggu.
Menurutnya, anggota JBPM mempamerkan komitmen yang tinggi di sepanjang operasi tersebut sehingga wanita tersebut ditemukan petang semalam.
Berhubung kos keseluruhan operasi SAR Jaslinda, Kor Ming tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung perbelanjaan tersebut namun berjanji akan memberikan jawapan bertulis.
“Ada masalah melibatkan komunikasi, penting yang hilang itu mampu dijumpai. Sudah tentunya dalam setiap sesi ataupun misi ada kelemahan. Itu kita cari punca dan akan mengatasi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Taklimat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1.
Semalam, Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 14 hari lalu ditemukan dalam keadaan selamat.
Operasi SAR diaktifkan pada 25 Mei selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang mengalami kecederaan kaki sebelum itu berhenti berehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core sebelum dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan gagal dikesan.
Jaslinda ditemukan di Pos Musoh di sini petang semalam.
Sementara itu, Kor Ming berkata, JBPM akan memperkemas operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebagai strategi mempertajamkan pasukan itu menyelamatkan nyawa manusia.
Menurutnya, langkah-langkah memperkemas tugas bomba bersifat kritikal terutamanya melibatkan operasi SAR.
“Kita telah luluskan peruntukan yang sangat besar untuk pastikan kesiap-siagaan bomba. Tahun ini kita luluskan RM267 juta (peruntukan) memperlengkapi lagi segala kelengkapan yang perlu untuk SAR.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kita juga telah luluskan RM1.3 bilion kepada JBPM untuk perolehan aset-aset penting kerana kita tidak tahu bila malang tidak berbau,” katanya. – UTUSAN










