MELAKA: Melaka memohon kepada Kerajaan Persekutuan bagi membina tiga lagi balai bomba baharu di negeri ini bagi memperkukuhkan tahap keselamatan serta mengurangkan masa tindak balas terhadap kecemasan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tiga lokasi yang dikenal pasti ialah di Selandar dan Seri Mendapat di Jasin dan Kuala Linggi di Masjid Tanah adalah selaras dengan perkembangan pembangunan serta pertambahan penduduk di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, keutamaan turut diberikan kepada Kuala Linggi berikutan kedudukannya sebagai mukim paling utara di Melaka yang masih memerlukan liputan perkhidmatan bomba yang lebih pantas.
“Di Kuala Linggi, masa tindak balas daripada balai bomba terdekat boleh mengambil antara 20 hingga 30 minit. Kawasan itu juga lebih hampir dengan Balai Bomba Port Dickson berbanding balai di Melaka.
“Sebab itu kita memohon supaya Kerajaan Persekutuan memberi perhatian terhadap pembinaan balai bomba di Kuala Linggi bagi memastikan penduduk mendapat jaminan keselamatan yang lebih baik,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, di sini hari ini.
Menurut Ab. Rauf, Balai Bomba Cheng merupakan balai bomba ke-11 di negeri ini yang dibina dengan kos kira-kira RM44 juta menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan menggunakan kaedah land swap dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 91,000 penduduk di kawasan Cheng dan Paya Rumput.
Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah memperkukuhkan peranan JBPM dalam proses pembangunan negeri dengan melantik wakil jabatan itu sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, kesemua empat PBT di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah melantik wakil JBPM sebagai ahli majlis.
Katanya, Melaka merupakan negeri pertama di negara ini yang melaksanakan inisiatif tersebut sejak lebih setahun lalu. – UTUSAN







