81 lokasi berisiko dikenal pasti perlukan balai bomba baharu

81 lokasi berisiko dikenal pasti perlukan balai bomba baharu

AB. Rauf Yusoh menandatangani plug sebagai simbolik perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng sambil diperhatikan Nor Hisham Mohammad di Cheng, Melaka hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 81 lokasi di seluruh negara yang memerlukan pembinaan balai bomba baharu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, keperluan itu dikenal pasti menerusi analisis risiko kebakaran yang dilaksanakan jabatan berdasarkan keluasan kawasan dan tahap risiko di setiap lokasi.

Menurut beliau, ketika ini JBPM mengendalikan 344 balai bomba di seluruh negara, manakala 15 lagi balai sedang dalam pembinaan yang dijangka siap secara berperingkat dalam tempoh antara satu hingga empat tahun.

“Selain 359 balai sedia ada dan yang sedang dibina, kita telah membuat penjajaran berdasarkan risiko kebakaran di seluruh negara.

“Kita menilai risiko kebakaran dalam setiap kawasan seluas 100 kilometer (km) persegi dan daripada analisis tersebut, kita mendapati terdapat 81 lagi lokasi yang memerlukan pembinaan balai bomba baharu bagi membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih ideal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, daripada 81 lokasi yang dikenal pasti itu, empat cadangan pembinaan balai bomba telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam RP2, manakala baki 77 lokasi masih berada dalam senarai keutamaan jabatan.

Katanya, penentuan lokasi pembinaan balai bomba tidak bersifat statik kerana akan sentiasa disemak mengikut perkembangan pembangunan di setiap negeri.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, JBPM turut menerima kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan bagi mengisi 560 kekosongan jawatan di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 38 jawatan telah diisi menerusi calon dalam senarai simpanan sedia ada, manakala baki sekitar 522 jawatan akan diiklankan tahun ini dengan proses pengambilan menggunakan bank calon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan pengisian dibuat pada awal tahun depan.

“Pengambilan ini adalah bagi menggantikan kekosongan jawatan sedia ada yang berjumlah kira-kira 1,900 jawatan di seluruh negara. Bagi balai baharu yang siap dibina kelak, kita juga akan memohon penambahan perjawatan mengikut keperluan operasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN