PUTRAJAYA: Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos penghantaran ubat-ubatan terus ke rumah di bawah program Ubat Melalui Pos (UMP) yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 pesakit di seluruh negara bermula Julai ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif dengan anggaran kos RM5.69 juta setahun itu akan ditampung oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurutnya, penyelarasan itu dibuat memandangkan Pos Malaysia yang menguruskan penghantaran berkenaan merupakan pemegang lesen di bawah kawal selia MCMC.
“Dalam setahun anggarannya adalah RM5.69 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kementerian Komunikasi dan pihak MCMC.
“Kita harap menjelang bulan Julai ini dah boleh mula di setiap negeri. Jadi (kos) tidak perlu lagi ditanggung oleh mana-mana pihak, terutamanya oleh para pesakit sendiri, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan,” katanya.
Fahmi berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan MCMC di sini hari ini.
Ditanya mengenai kriteria kelayakan pesakit, Fahmi menegaskan bahawa pemilihan penerima manfaat tersebut adalah di bawah bidang kuasa KKM sepenuhnya.
Ujarnya, peranan Kementerian Komunikasi dan MCMC adalah untuk mempermudah serta menanggung kos logistik demi memastikan kelancaran sistem penyampaian ubat-ubatan tersebut.
“Kategorinya pelbagai, tetapi yang layak adalah di bawah program UMP. Kami tidak terlibat dalam memilih mana-mana pesakit, itu sepenuhnya di bawah KKM. Namun memandangkan perkhidmatannya adalah melalui Pos Malaysia, maka kita akan uruskan,” jelasnya. – UTUSAN










