TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat di sini yang didapati tidak memuaskan.
Arahan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta penduduk setempat berhubung masalah liputan rangkaian di kawasan berkenaan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengadakan lawatan ke kampung tersebut selepas menerima aduan dan menjalankan pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) di tiga lokasi.
Menurutnya, hasil ujian mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji gagal memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.
“Hasil ujian itu telah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan pada Mei lalu untuk tindakan lanjut.
“Penyedia perkhidmatan terbabit diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan susulan berhubung keputusan ujian berkenaan,” katanya.
MCMC berkata, notis mengikut Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberi maklum balas dalam tempoh ditetapkan.
CelcomDigi diarahkan melaksanakan langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang, manakala Maxis diminta menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan di kawasan tersebut. – UTUSAN










