GEORGE TOWN : Mayat seorang lelaki dijumpai dalam sebuah kereta tidak berkunci yang diletakkan di Jalan Lintang Merdeka di sini, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Difahamkan, mangsa yang berusia 55 tahun dan berasal dari Bukit Mertajam itu dijumpai berada pada bahagian tempat duduk pemandu oleh seorang pekerja pembersihan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, susulan penemuan itu, sepasukan anggota polis kemudian dikerah ke lokasi untuk menyiasat kejadian tersebut.
“Ketika dijumpai, mangsa juga lengkap berpakaian. Pemeriksaan pada anggota badan mangsa serta lokasi kejadian bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah setakat ini,” katanya di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, semakan lanjut mendapati, lelaki tersebut mempunyai rekod sebagai pesakit kronik dan sedang menerima rawatan di hospital ketika ini.
Katanya, berdasarkan keadaan mayat pula, dia dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada empat hari sebelum mayatnya ditemukan.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian dan buat masa ini, kes telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujar beliau.-UTUSAN










