PETALING JAYA: Malaysia dan Timor-Leste terus memperkukuh hubungan dua hala dengan menumpukan kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan strategik, pembangunan modal insan serta pendidikan dan latihan teknikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam jamuan tengah hari sempena lawatan khas Presiden Timor-Leste, Dr. José Ramos-Horta ke Malaysia, hari ini.
Katanya, beliau turut bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang selain meneroka peluang baharu yang mampu menjana pertumbuhan mampan serta membuka ruang kemajuan yang lebih luas kepada generasi muda kedua-dua negara.
“Sebagai negara jiran dan anggota keluarga besar ASEAN, Malaysia menyambut baik usaha mempererat hubungan serantau berasaskan semangat kebersamaan, saling menghormati dan tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan, kestabilan serta kemakmuran rantau ini.
“Hubungan yang terus diperkukuh itu dijangka memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Timor-Leste di samping menyumbang kepada kemajuan ASEAN secara keseluruhannya,” katanya.
Terdahulu, Dr. Jose mengadakan lawatan lima hari bermula 13 Jun lalu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Dili. – UTUSAN










