KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik Asia Barat melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan memberi peluang kepada proses diplomasi susulan perkembangan positif rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Switzerland baru-baru ini.
Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, Malaysia menyambut baik suasana konstruktif yang terhasil daripada rundingan pusingan pertama AS-Iran di Bürgenstock, Switzerland pada 21 Jun lalu yang dilihat mampu meredakan ketegangan serantau.
Menurut beliau, beberapa perkembangan penting termasuk penubuhan jawatankuasa bersama peringkat tinggi, pelan hala tuju 60 hari ke arah perjanjian komprehensif serta persetujuan Iran menerima semula pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) merupakan langkah signifikan ke arah keamanan.
“Malaysia menggesa kedua-dua pihak mematuhi tempoh 60 hari yang dipersetujui dan meneruskan rundingan dengan penuh keikhlasan bagi mencapai penyelesaian yang berkekalan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) Sesi Ke-20, di Baku, Azerbaijan, hari ini.
Mohd. Na’im berkata, Malaysia masih bimbang dengan tindakan ketenteraan yang berterusan khususnya di Lubnan meskipun usaha diplomatik sedang berlangsung.
Katanya, mekanisme penyelarasan konflik dan Forum Pelaksanaan Gencatan Senjata Lubnan yang dipersetujui dalam rundingan Switzerland perlu diaktifkan segera bagi menghentikan operasi ketenteraan dan melindungi orang awam.
“Malaysia menegaskan bahawa sebarang tindakan provokatif atau ancaman ketika rundingan damai sedang berlangsung hanya akan menggugat usaha keamanan yang sedang dibina,” katanya.
Mohd. Na’im turut menekankan kepentingan memastikan Selat Hormuz kekal terbuka dan selamat memandangkan laluan itu merupakan nadi utama bekalan tenaga global serta perdagangan antarabangsa.
Menurut beliau, sebarang pertikaian maritim perlu diselesaikan melalui saluran komunikasi yang telah dipersetujui dan bukannya menerusi tindakan ketenteraan unilateral.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia percaya penyelesaian diplomatik adalah satu-satunya jalan untuk menamatkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.
“Konfrontasi ketenteraan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Keamanan hanya dapat dicapai melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara dan kerjasama serantau,” katanya.
Beliau turut menggesa negara-negara anggota OIC memperkukuh kesatuan dan bercakap dengan satu suara dalam menyokong proses damai selain menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik di Iran, Lubnan dan kawasan sekitarnya.









