Usaha damai AS-Iran perlu berteraskan keadilan- PM

Usaha damai AS-Iran perlu berteraskan keadilan- PM

ANWAR Ibrahim berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian melalui panggilan telefon bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik Asia Barat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha damai antara Amerika Syarikat dan Iran mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.

Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhubung dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian melalui panggilan telefon bagi mendapatkan perkembangan terkini konflik Asia Barat yang kian meruncing.

Anwar berkata, pengalaman lalu sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lebanon membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan.

“Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.Justeru, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan.

“Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.

Jelasnya, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.

“Dalam masa yang sama, Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.

“Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan. Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.

“Saya turut menghargai penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN