BATU KAWAN: Malaysia menyambut baik perkembangan terkini hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang disifatkan mampu meredakan ketegangan geopolitik serta memberi kesan positif kepada ekonomi global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang bentuk persefahaman atau perjanjian komersial yang dapat mengurangkan konflik di rantau Asia Barat merupakan berita baik kepada seluruh dunia, termasuk negara-negara ekonomi kecil yang bergantung kepada kestabilan perdagangan antarabangsa.
“Ini berita yang amat baik untuk kita semua kerana penutupan laluan atau ketegangan di rantau berkenaan hampir pasti memberi kesan kepada industri, ekonomi dan menyebabkan kenaikan harga yang akhirnya membebankan rakyat.
“Saya telah menyampaikan kenyataan serta pandangan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) dan Presiden Republik Islam Iran. Sebagai sebuah negara dengan ekonomi yang sedang berkembang, kita amat mengalu-alukan perkembangan ini,” katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Iran pada Khamis mengesahkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat, seperti yang diumumkan lebih awal oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Teks Memorandum Persefahaman Islamabad telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden dan kini tiba masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian itu.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau berharap keamanan yang dicapai dapat dikekalkan dalam jangka panjang serta diperluaskan ke seluruh rantau Asia Barat.
Katanya, semua negara berkaitan termasuk negara-negara Arab dan Israel perlu memainkan peranan bagi memastikan keamanan serantau terus terpelihara.
“Rakyat mungkin tidak menyedari bahawa pergolakan di tempat yang jauh boleh menjejaskan kehidupan seharian masyarakat biasa. Golongan yang paling terkesan ialah mereka yang miskin dan terpinggir.
“Keadaan yang menyebabkan kesukaran hidup kepada rakyat akibat konflik berpanjangan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan amat kejam,” katanya. – UTUSAN










