BATU KAWAN: Malaysia terus mengekalkan pendirian berkecuali dan bebas dalam dasar luarnya apabila memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik dengan semua negara, termasuk kuasa besar dunia demi kepentingan ekonomi dan masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian tersebut membolehkan Malaysia berinteraksi secara seimbang dengan negara-negara di Timur dan Barat di samping mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan dalam menentukan hala tuju negara.
“Kita telah melakukannya dengan Amerika Syarikat (AS) ketika Presiden Donald Trump berkunjung ke sini tahun lalu, satu lawatan yang amat signifikan. Kemudian, kita melakukannya dengan China dan India, serta yang terbaharu dengan Rusia.
“Ini menunjukkan peranan dan kedudukan strategik Malaysia di peringkat antarabangsa, selain mencerminkan pendirian negara untuk terus berhubung dengan semua negara sambil mengekalkan kebebasan, berkecuali dan kedaulatan dalam menentukan haluan sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Malaysia di sini hari ini.
Menurut Anwar, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia amat penting kerana ia menjadi antara faktor utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.
Katanya, AS masih merupakan antara rakan dagang dan pelabur utama Malaysia, selain peningkatan kepentingan ekonomi negara-negara lain seperti China, India dan beberapa negara di rantau ini.
“AS ketika ini masih berada pada kedudukan teratas dari segi pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia. Pada masa sama, kita turut menyaksikan peningkatan kepentingan China, India serta negara-negara lain yang mempunyai hubungan ekonomi rapat dengan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran syarikat-syarikat teknologi dan pembuatan global untuk mengembangkan operasi di negara ini membuktikan tahap keyakinan yang tinggi terhadap ekosistem pelaburan Malaysia dan dalam hal ini, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara menawarkan kemudahan terbaik, insentif yang kompetitif.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan tidak pernah menganggap segala dasar yang dilaksanakan sudah sempurna, sebaliknya sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pemain industri.
“Pendekatan Malaysia yang mengutamakan persahabatan dengan semua negara serta hubungan diplomatik yang seimbang telah membantu meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap negara ini sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, selain menawarkan kemudahan dan insentif yang kompetitif, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat tempatan serta keupayaan negara menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Katanya, kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan daripada pihak industri bagi menambah baik ekosistem pelaburan negara serta mempercepatkan proses pelaksanaan projek.









