JOHOR BAHRU: Dua muka baharu, Nor Zulaila Abd. Ghani, 38, dan Lee Wern Yiing, 30, diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Johor Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengumuman tersebut dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam Majlis Pengumuman Calon Tiram dan Johor Jaya yang diadakan di Pusat Komuniti Harapan, Plentong, di sini hari ini.
Nor Zulaila berkata, pihaknya komited untuk membawa suara rakyat di peringkat akar umbi serta memperjuangkan polisi dan dasar-dasar yang lebih baik buat rakyat khususnya di kawasan ditandinginya.
“Saya seru jentera PH, mari kita berkempen dengan berhemah, tawarkan harapan dan politik matang, bukan sebaliknya untuk pecah belah antara kaum,” katanya kepada pemberita.
Nor Zulaila telah berkhutbah selama lebih 12 tahun dalam perkhidmatan awam dan pernah menjadi Ahli Majlis Perbandaran Kajang sejak 2018 selain berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Timbalan Menteri Kewangan.
Sementara itu, Wern Yiing yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Johor turut menzahirkannya penghargaan kepada kepimpinan parti kerana memberinya peluang dan kepercayaan bertanding di Johor Jaya.
“Pengalaman berkhidmat bersama penyandang kerusi DUN Johor Jaya, Liow Cai Tung sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu penduduk sekiranya diberikan mandat.
“Saya akan teruskan legasi pentadbiran itu untuk membawa suara penduduk dalam DUN ini bagi terus berkhidmat di Johor Jaya. Saya minta sokongan anda semua,” katanya.-UTUSAN










