PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun berpeluang memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi dan pembuatan bagi mewujudkan ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan ketika rantaian bekalan global berdepan pelbagai tekanan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara memiliki kekuatan tersendiri yang boleh saling melengkapi khususnya dalam industri semikonduktor yang kini semakin penting kepada ekonomi dunia.
Katanya, keupayaan Malaysia dalam bidang pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor termaju dapat digandingkan dengan kepakaran Jepun dalam sektor bahan, peralatan dan pembuatan berteknologi tinggi.
“Malaysia yang semakin kukuh dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan termaju semikonduktor melengkapi kepimpinan Jepun dalam bahan, peralatan dan pembuatan termaju.
“Bersama-sama, kita mempunyai peluang untuk membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya tahan dan bersepadu ketika rantaian bekalan berdepan tekanan yang semakin meningkat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Masa Depan Asia bertajuk Mendepani Ketidaktentuan Strategik di Tokyo, Jepun hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.
Anwar berkata, kerjasama erat Malaysia-Jepun bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan industri negara sejak beberapa dekad lalu.
Katanya, syarikat-syarikat Jepun memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi perindustrian Pulau Pinang pada era 1970-an sehingga negeri itu muncul sebagai antara hab elektronik dan semikonduktor terkemuka di Asia.
“Hubungan ini tidak dibina atas dasar pelaburan semata-mata, tetapi berasaskan keyakinan, perkongsian dan komitmen terhadap pembangunan jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama kedua-dua negara dalam sektor tenaga turut berpotensi membantu rantau Asia mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan keselamatan tenaga.
Menurutnya, inisiatif seperti Asia Zero Emission Community (AZEC) membuktikan bahawa pembangunan ekonomi dan agenda kelestarian boleh dilaksanakan secara seiring.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperluaskan kerjasama dalam ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan manfaat inovasi dapat dinikmati secara inklusif dan memberi nilai kepada rakyat. – UTUSAN









