MARANG: {enyewaan sebuah premis di Kompleks Telaga Mengkudu di sini, kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan pendidikan komuniti pelarian dibuat mengikut prosedur serta tidak melibatkan sebarang pengiktirafan status kewarganegaraan atau hak bermastautin.
Majlis Daerah Marang (MDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, isu itu tular dalam media sosial selepas premis berkenaan disewa kepada NGO yang mengendalikan pusat pendidikan bagi komuniti pelarian berdaftar di bawah United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).
Menurut kenyataan itu, premis terbabit disewakan kepada Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan sejak 2020 mengikut syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak majlis.
“Sepanjang tempoh penyewaan tersebut, penggunaan premis adalah bagi tujuan pendidikan dan aktiviti kebajikan berasaskan kemanusiaan,” kata kenyataan itu.
MDM berkata, NGO berkenaan menerima sokongan dana daripada UNHCR bagi melaksanakan program pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian yang tidak mempunyai akses kepada sistem pendidikan formal.
Katanya, aktiviti yang dijalankan memberi fokus kepada pembelajaran asas, pembangunan sahsiah dan kesejahteraan kanak-kanak selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat.
“Penyewaan premis ini tidak melibatkan sebarang pengiktirafan status kewarganegaraan, hak bermastautin atau pemberian keistimewaan khas kepada mana-mana individu.
“Penyewaan tersebut adalah pengurusan aset majlis yang dilaksanakan berdasarkan fungsi dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan )PBT) serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa,” katanya.
Menurut MDM, sepanjang tempoh penyewaan sejak 2020, pihak majlis sentiasa memantau premis berkenaan bagi memastikan semua aktiviti mematuhi syarat yang ditetapkan.
Katanya, setakat ini pihak majlis tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan pelanggaran syarat penyewaan atau isu yang boleh menjejaskan keselamatan awam, ketenteraman dan keharmonian masyarakat setempat. – UTUSAN










