Mahkamah Tinggi teruskan lelong aset Jamal Yunos

Mahkamah Tinggi teruskan lelong aset Jamal Yunos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini meneruskan lelongan beberapa aset milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada 22 Jun ini.

Lelongan itu dibuat bagi mendapatkan semula bayaran tunggakan saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Keputusan itu dibuat selepas tuntutan interplider oleh anak Jamal, Muhammad Amin Daniel ditolak dengan kos sebanyak RM8,000.

Seorang lagi individu yang dikatakan mempunyai kepentingan terhadap aset-aset tersebut bernama Mohd. Razali Kamin juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM2,000 selepas menarik balik tuntutan interplider yang difailkan olehnya.

Teresa yang diwakili peguam, Datuk SN Nair mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media selepas prosiding secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Pada 28 Januari lalu, Teresa bertindak menyerahkan notis sitaan serta memecahkan tombol dan kunci pintu dapur kediaman Jamal di Ampang sebelum menukarnya kepada yang baharu.

Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Teresa selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.

Terdahulu, Teresa memfailkan permohonan sita dan jual harta Jamal selepas lelaki itu gagal membayar sebahagian ganti rugi kos berjumlah RM66,061.85 yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 27 Mac 2024, Jamal perlu membayar RM300,000 kepada Teresa kerana memfitnah wanita itu berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN