PADANG BESAR: Seorang pereka grafik mengambil pendekatan luar biasa bagi membantu orang ramai melepaskan tekanan atau emosi dengan berekspresi di atas kanvas melalui lukisan dan mewarna secara bebas.
Abdul Azim Abdul Halim,39, menyediakan ruang khusus sebagai pusat terapi seni di sebuah studio seni yang diusahakan di Kampung Lembah Biak, Beseri ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Inisiatif mewujudkan ruang itu tercetus selepas dia menyedari ramai berdepan tekanan emosi dan memerlukan sesuatu aktiviti menenangkan fikiran.
Katanya, pada peringkat awal, dia hanya menyediakan ruang santai untuk aktiviti keluarga, tetapi tidak menyangka ia menjadi tempat sangat berkesan untuk pengunjung melepaskan tekanan.
“Ramai sentiasa mencari aktiviti yang menyihatkan minda dan di sinilah tempat mereka meluahkan bakat terpendam yang dulu tidak berpeluang diekspresikan. Sesi ini mendapat sambutan luar biasa daripada golongan profesional dan penjawat awam yang ‘lari’ seketika dari kesibukan tugas harian.
“Antara pelanggan tetap ialah doktor perubatan, jururawat dan pensyarah universiti yang menjadikan lukisan sebagai medium terapi emosi. Ada pelanggan yang datang ke sini semata-mata untuk meluahkan masalah dan tekanan emosi mereka di atas kanvas, malah ada orang dewasa yang melukis sambil menangis.
“Waktu itu, saya sedar perkhidmatan seni ini bertindak seperti klinik terapi minda bagi mereka. Ramai juga sebenarnya mempunyai minat melukis sejak di bangku sekolah, namun terpaksa melupakan impian itu kerana laluan kerjaya. Jadi, di ruang ini, mereka melepaskan rindu untuk berkarya secara bebas tanpa sebarang peraturan atau paksaan,” katanya ketika ditemui di studio berkenaan di sini semalam.
Abdul Azim yang merupakan lulusan kursus animasi dari Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka berkata, dia memilih cat akrilik sebagai medium utama dan membenarkan pelanggan bebas bereksperimen dengan campuran warna.
Dia yang pernah menimba pengalaman di sebuah syarikat animasi sebelum menubuhkan syarikat sendiri pada Januari 2009 memberitahu, perancangan masa depannya ialah untuk terus membangunkan perniagaan keluarga berkenaan menjadi sebuah pusat sehenti kesenian dan digital.
“Saya percaya seni bukan sekadar tertumpu kepada lukisan semata-mata, sebaliknya satu wadah kebebasan untuk masyarakat meluahkan apa sahaja rasa yang terbuku di jiwa,” katanya.
Dalam pada itu, inisiatif dan potensi studio tersebut turut mendapat perhatian Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis yang memberi ruang kepada usahawan kreatif itu memperluaskan perkhidmatan termasuk menyertai pameran di peringkat kebangsaan. – UTUSAN










