KUALA LUMPUR: Seorang lelaki transgender dipenjara tujuh tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki 311.1 gram ganja.
Tertuduh, Sali Sangsangan, 39, berdepan pertuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ditawarkan pertuduhan pilihan yang memperuntukkan hukuman lebih rendah.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan pilihan dan memerintahkan pemenjaraan itu berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 17 Mac 2025.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 311.1 gram di sebuah hotel bajet di Bukit Bintang di sini pada pukul 1.20 pagi, 17 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan hendaklah disebat minimum 10 kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum memohon hukuman maksimum dengan mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan peribadi tertuduh, selain kesalahan melibatkan dadah yang serius.
“Saya mohon mahkamah ini mengambil kira apabila satu kesalahan itu melibatkan dadah, maka pesalah ini tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.
“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah dalam kes ini adalah besar iaitu lima kali ganda had statutori pemilikan,” katanya.
Tertuduh yang diwakili peguam M. Manoharan memohon hukuman ringan dengan alasan telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan, selain mengambil pendekatan pemulihan berbanding hukuman semata-mata.
“Saya percaya tertuduh telah insaf atas apa yang berlaku. Selepas lebih satu tahun, masa di penjara telah memberikan kesedaran dan tertuduh telah bertaubat dan menyesal sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










