NIBONG TEBAL : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mahu memastikan agar perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), koperasi serta usahawan tempatan terus mendapat ruang susulan pertumbuhan yang berlaku dalam aktiviti perdagangan domestik ketika ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, ruang yang dimaksudkan itu termasuk dari segi penjualan produk, pembinaan hubungan bersama pelanggan baharu atau peluang untuk memasuki rantaian ekonomi tempatan dengan lebih kukuh.
“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sektor perdagangan borong dan runcit negara dilihat terus berkembang, dengan nilai jualan hampir RM175 bilion pada April 2026.
“Jumlah itu (RM175 bilion) meningkat sebanyak 15.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sekali gus menunjukkan bahawa aktiviti perdagangan domestik masih rancak ketika ini.
“Justeru, KUSKOP akan meneruskan usaha kerajaan bukan sahaja menerusi program ‘turun padang’ untuk bersama PMKS, koperasi dan lain-lain, tetapi juga dengan membantu menyokong perniagaan rakyat Malaysia (secara keseluruhannya),” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026 @ DUN Jawi di Taman Bukit Panchor di sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.
Sempena program JMK itu, lebih 80 jenis barangan keperluan termasuk makanan kering, daging, ikan, makanan laut serta barangan keperluan rumah dijual pada harga rendah iaitu menerusi potongan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
Sementara itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, program JMK mungkin diperluas ke lebih banyak negeri selepas ini berikutan sambutan menggalakkan yang diterima daripada orang ramai termasuk usahawan yang terlibat.
Ketika ini katanya, program tersebut yang dibiayai menerusi peruntukan dalaman KUSKOP itu telah dilaksanakan di tiga negeri iaitu lima di Pulau Pinang serta masing-masing satu di Johor dan Melaka.
“Kita memang dalam perancangan untuk perluaskan JMK ini kalau bajet mencukupi,” katanya yang memberitahu, JMK melengkapkan inisiatif Jualan Rahmah iaitu bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.-UTUSAN










