Konspirasi: Saya dimaklumkan tayangan tertutup masih dibenarkan - Sarimah Ibrahim - Utusan Malaysia

Konspirasi: Saya dimaklumkan tayangan tertutup masih dibenarkan – Sarimah Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Che Puan Sarimah Ibrahim mendakwa, walaupun filem Konspirasi ditarik daripada tayangan di pawagam seluruh negara, tayangan tertutup atau ‘private screening’ masih dibenarkan.

Menurut Sarimah, walaupun berasa ralat dengan penarikan filem tersebut secara mengejut, dia bersyukur kerana karya yang mengangkat perjuangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu masih berpeluang ditonton di Singapura.

“Matlamat saya adalah untuk melihat filem ini mendapat tempat di hati penonton. Apabila ada penonton yang mahu membeli tiket tetapi tidak dapat berbuat demikian, sudah tentu kami turut berasa kecewa bagi pihak mereka sehingga terpaksa ke Singapura untuk menontonnya.

“Alhamdulillah, saya dan keluarga sempat menonton filem itu. Cuma saya dimaklumkan tayangan tertutup masih boleh diteruskan,” katanya.

Sarimah berkata demikian ketika ditemui pada konsert minggu ketujuh program Talk To My Manager (TTMM) di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Sarimah berkata, walaupun pihak penerbit, Elepfilm Entertainment, telah mengeluarkan kenyataan media berhubung penarikan filem berkenaan, dia masih belum memperoleh penjelasan yang benar-benar telus mengenai perkara itu.

“Kita bukan hendak mengatakan kecewa, tetapi lebih kepada tertanya-tanya. Saya cuma mahu tahu sebabnya. Kami sudah memasuki fasa promosi, namun pada malam yang sama dimaklumkan tayangan dihentikan.

“Persoalannya sekarang, kenapa? Kami sebagai pelakon sendiri tidak menerima sebarang penjelasan. Malah, rakan pelakon lain dan pengarah, Ghaz Abu Bakar, juga tidak mengetahui apa-apa.

“Kami hanya dimaklumkan bahawa filem itu ditarik balik, itu sahaja.

“Ibarat menyiapkan tugasan dan sudah menghantarnya, tetapi tiba-tiba guru tidak mahu memberikan markah. Jadi, timbul persoalan mengapa perkara itu berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Sarimah mengakui berasa terkilan kerana seolah-olah terhutang penjelasan kepada peminat yang sudah bersedia memberikan sokongan terhadap filem tersebut.

“Saya seorang yang jujur. Jika saya berdiam diri, ia akan kelihatan pelik kerana kami sudah bertungkus-lumus membuat promosi pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Apabila penonton mahu membeli tiket tetapi filem itu tiada, mereka pasti akan bertanya di mana filem tersebut.

“Saya tidak mahu peminat menganggap kami memperdayakan mereka dengan mempromosikan sesuatu yang akhirnya tidak dapat ditonton. Sebagai pelakon, saya hanya mahu filem ini sampai kepada penonton dan menyentuh hati mereka.

“Jadi apabila perkara ini berlaku, saya memang berasa kecewa bagi pihak mereka,” tegasnya.

Terdahulu, status tayangan filem Konspirasi menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat selepas karya tersebut ditarik daripada pawagam tempatan hanya selepas tujuh hari ditayangkan pada 21 Mei lalu.

Penerbit, Elepfilm Entertainment berkata keputusan itu dilakukan bedasarkan kepada pertimbangan dalaman syarikat sekali gus menafikan terdapat campur tangan pihak luar. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN