KL Cermin kembali perkukuh latihan perikanan

KL Cermin kembali perkukuh latihan perikanan

KAPAL Latihan Cermin (KL Cermin) milik Akademi Perikanan Malaysia kembali beroperasi selepas melalui kerja-kerja baik pulih  dan naik taraf. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kapal Latihan Cermin (KL Cermin) milik Akademi Perikanan Malaysia kembali beroperasi selepas melalui kerja-kerja baik pulih  dan naik taraf sejak 2023 yang bernilai RM10.14 juta bagi memperkukuh latihan serta pembangunan modal insan dalam sektor perikanan negara.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, KL Cermin adalah sebuah kapal latihan moden dengan muatan kasar 160 tan metrik yang direka khusus untuk menyokong latihan praktikal, penyelidikan serta pembangunan kompetensi dalam industri perikanan.

Katanya, kos RM10.14 juta yang dibelanjakan melibatkan kerja-kerja penambahbaikan enjin baharu, pembaikan sistem teknikal pengoperasian pukat serta perolehan peralatan pukat bagi memastikan kapal itu dapat beroperasi secara optimum.

“Peralatan utama KL Cermin adalah sistem pukat jerut  dengan panjang 1,300 meter atau 1.3 kilometer dan kedalaman labuh pukat sehingga 70 meter.

“Kelengkapan ini membolehkan simulasi operasi penangkapan ikan komersial dijalankan dalam situasi sebenar di laut,” katanya pada Majlis Perasmian Pengoperasian Semula KL Cermin di Akademi Perikanan Malaysia di sini.

Adnan berkata, bagi meningkatkan kecekapan latihan dan navigasi, kapal berkenaan dilengkapi dengan sistem sonar imbasan terkini model CH-600 yang membolehkan pengesanan kumpulan ikan serta pemetaan dasar laut dilakukan dengan lebih tepat dan efisien.

Menurutnya, perjalanan KL Cermin dari Kuala Penyu, Sabah ke Kuala Terengganu mengambil masa kira-kira lima hari empat jam dengan kekuatan 12 kru dan kelajuan purata 10 knot.

Katanya, kapal itu mempunyai kapasiti simpanan diesel sebanyak 22,000 liter yang membolehkannya beroperasi di laut sehingga 10 hari secara berterusan.

“KL Cermin akan dimanfaatkan secara optimum menerusi lapan pelayaran utama setiap tahun. Ia melibatkan dua pelayaran pembelajaran berjadual untuk pelajar Program Sijil Perikanan dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Operasi Perikanan Tangkapan, dua pelayaran pemerkasaan kompetensi tenaga pengajar, dua pelayaran penyelidikan oseanografi serta dua pelayaran peningkatan kemahiran kumpulan sasar dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN