TEMERLOH: Keanggotaan Perikatan Nasional (PN) termasuk kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menjadi antara agenda penting yang dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, malam esok.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju Bersatu dalam gabungan itu terpulang kepada parti tersebut untuk menentukannya.
Katanya, setakat ini PN masih terdiri daripada Pas, Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) sepertimana dipersetujui sebelum ini
“Antara agenda yang penting adalah keanggotaan dalam PN. Namun, itu terpulang kepada Bersatu. Setakat ini, PN komposisinya adalah sepertiana yang sedia ada,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Paz Kawasan Kuala Krau Kali Ke-40 di Kompleks Al-Makmur Kerda,u di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kedudukan Bersatu dalaam PN dan kemungkinan parti tersebut bergerak secara sendiri pada masa depan.
Ahmad Samsuri berkata, sehingga kini tiada sebarang perubahan terhadap struktur PN dan semua parti komponen masih memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh gabungan berkenaan.
Katanya, sebarang perkara yang melibatkan keanggotaan atau kedudukan mana-mana parti dalam PN perlu melalui proses perbincangan dan keputusan bersama di peringkat kepemimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut bentuk perbincangan yang bakal berlangsung dalam mesyuarat itu, namun menegaskan bahawa PN sentiasa mengamalkan pendekatan muafakat dalam membuat keputusan. – UTUSAN










